Hospital Orang Asli

Hospital Orang Asli

Misi

Menyediakan perkhidmatan kebajikan perubatan yang berkualiti dan cemerlang demi mencapai kepuasan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

Latar Belakang

Perkhidmatan kesihatan masyarakat Orang Asli oleh  JAKOA telah bermula pada pertengahan tahun 1957 lagi. Sejajar dengan matlamat utama perkhidmatannya untuk meningkatkan tahap kesedaran penjagaan kesihatan di kalangan Orang Asli, terdapat pelbagai jenis perkhidmatan telah disediakan seperti balai rawatan, pusat transit, klinik desa, kemudahan klinik bergerak, dan lawatan perkhidmatan Doktor Udara. Sehingga kini, objektif program kesihatan untuk mengurangkan kadar kejadian penyakit-penyakit berjangkit dan mengurangkan kadar kematian ibu dan kanak-kanak Orang Asli telah berjaya direalisasikan. Sebanyak 90% daripada jumlah penduduk Orang Asli telah menerima rawatan perubatan. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2011 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia mengambil ketetapan dan keputusan bahawa perkhidmatan kesihatan dan perubatan masyarakat Orang Asli perlu dipertingkatkan setanding dengan masyarakat perdana lain di Malaysia. Sehubungan itu, Bahagian Kesihatan dan Perubatan JAKOA diserahkan tanggungjawab perkhidmatannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkuatkuasa pada 1 Januari 2012. Satu perjanjian persefahaman (MoU) di antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah ditandatangani pada 3 Januari 2012. MoU ini telah menetapkan bahawa KKM bertanggungjawab penuh dalam aspek perubatan kesihatan manakala aspek kebajikan pesakit masyarakat Orang Asli masih di bawah tanggungjawab JAKOA. 

Mesyuarat Pengurusan Bulanan JAKOA Bil. 2/2012 pada 20 Januari 2012 yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKOA, Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Sani Bin Mistam telah mengambil keputusan bahawa Seksyen Kebajikan Perubatan Orang Asli (SKPOA) dan sekarang dikenali sebagai Unit Kebajikan Pesakit (UKP) diwujudkan dan mengambil tanggungjawab penuh dalam aspek kebajikan perubatan pesakit dan pengiring masyarakat Orang Asli. UKP mempunyai 2 unit iaitu:-

  •  Unit Pengurusan Perubatan; dan 
  •  Unit Kebajikan Perubatan
 
Kemaskini Terakhir : 11 / 08 / 2020 09:35 AM