TEMERLOH, 16 Sept – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mempergiatkan usaha vaksinasi COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli supaya dapat diselesaikan pada Oktober ini, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.
 
Mahdzir berkata berdasarkan statistik, seramai 144,180 individu masyarakat itu layak untuk menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 77,970 orang telah menerima dos pertama manakala 50,734 orang telah lengkap kedua-dua dos.
 
“Selain itu, seramai 5,790 individu Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino.
 
Baki yang masih belum divaksin sedang diusahakan untuk menerima vaksin secepat mungkin,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Panderas di sini di sini hari ini.
 
Turut hadir ialah Timbalan Menteri KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau dan Ketua Pengarah JAKOA Puan Hajah Sapiah binti Dato’ Mohd Nor.
 
Pada perkembangan lain, Mahdzir berkata SK Penderas kini dijadikan sebagai pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) bagi melibatkan pesakit Orang Asli sekitar Parlimen Kuala Krau yang menunjukkan peningkatan sehingga ada dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
 
“Kita telah memperoleh kebenaran Jabatan Pendidikan Pahang untuk menggunakan sekolah ini, yang boleh memuatkan sehingga 500 pesakit dalam satu-satu masa. PKRC ini mula beroperasi semalam, dan akan dibuka sehingga tiada lagi kes baharu dilaporkan,” katanya.
 
Mahdzir berkata setakat semalam, terdapat 1,133 kes positif COVID-19 direkodkan di tujuh perkampungan Orang Asli di Kuala Krau, dengan empat kematian direkodkan setakat Ahad lepas.
240673091 4541500635936444 4426507433075584237 n 4

Kemaskini Terakhir : 16 / 10 / 2021 12:00 AM