5 Program Utama Lonjak Pencapaian Orang Asli

5 Program Utama Lonjak Pencapaian Orang Asli.
 
Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa komited melahirkan pencapaian pendidikan dan kemahiran supaya selari dengan arus perdana berdasarkan Pelan Strategik JAKOA dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11).
 
Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata pendekatan JAKAO adalah melalui lima program iaitu pertama menerusi pendidikan awal kanak-kanak yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
 
Dr Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Bersatu Mersing, berkata program kedua adalah bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan dan kecemerlangan akademik dalam kalangan masyarakat Orang Asli dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).
 
“Ketiga ialah program Jejak Siswa yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), keempat pembangunan minda insan dan kelima latihan kemahiran kerjaya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institusi kemahiran di bawah kementerian ini ,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias yang meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan apakah perancangan yang dirangka oleh kementerian bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional di kalangan masyarakat Orang Asli.
 
Dr Abd Latiff berkata mengikut stastik jumlah anak Orang Asli yang berkhidmat sebagai profesional dalam sektor awam semakin meningkat iaitu daripada 1,414 pada 2010 kepada 3,820 atau peningkatan lebih 60 peratus pada 2020.
Sumber: PN BBC PORTAL
Kemaskini Terakhir : 4 / 12 / 2020 12:00 AM