Anggota Orang Asli Ada Kelebihan Tersendiri Dalam JBPM

TAPAH, 22 Sept – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dalam hutan adalah satu tugas mencabar buat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) namun ia adalah satu kelebihan buat anggota Orang Asli dalam pasukan itu.
 
Seorang pegawai bomba Muhammad Yusri Bahpat, 42, dari suku Semai yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah berkata beliau mempunyai minat mendalam dalam kebombaan dan berusaha memasuki pasukan dengan menyertai rekrut di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu pada 2010.
 
Muhammad Yusri berkata antara tugas paling disukainya termasuklah operasi SAR dalam hutan kerana beliau tahu selok belok dan teknik mengesan pergerakan yang mana kemahiran itu tidak asing dalam masyarakat Orang Asli.
 
Berkongsi lebih lanjut, katanya antara teknik digunakan ialah menjejaki tapak kaki bagi mengesan arah dituju oleh mangsa dicari dalam hutan dan mengesan pergerakan seperti terdapatnya peninggalan unggun api yang menandakan lokasi itu dijadikan tempat berehat dan sebagainya.
 
Bagaimanapun, beliau yang berasal dari Kampung Batu 16, Jalan Pahang di sini berkata setiap anggota termasuk dalam kalangan Orang Asli perlu mempunyai kemahiran pelbagai operasi seperti kemalangan, lemas, memasuki gaung dan operasi menyelamat lain.
 
Sumber: BERNAMA
Kemaskini Terakhir : 22 / 09 / 2021 10:42 AM