Empangan Nenggiri: Kebajikan Orang Asli Terpelihara

KOTA BHARU: Segala pampasan, sagu hati dan bantuan rumah sudah diuruskan sebagaimana sepatutnya kepada masyarakat Orang Asli yang kawasan penempatan mereka terlibat dalam pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang.
 
Sehubungan itu kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebarang bentuk tohmahan kononnya kerajaan mengabaikan kebajikan masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut adalah tidak berasas.
 
“Setakat ini sudah banyak program libat urus dibuat antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan masyarakat Orang Asli. Hal berkait dengan pampasan, sagu hati dan rumah untuk mereka sudah diuruskan pihak TNB.
 
“Kita harap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak tidak lagi melontar tohmahan tentang pelaksanaan projek ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.
 
Turut hadir, Pengurus Besar TNB Kelantan, Mustaphakamal Yaacob.
 
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengambil tanah kepunyaan rakyat tanpa membayar pampasan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
 
“Projek empangan hidroelektrik di Nenggiri ini telah pun berada di peringkat pelaksanaan dan dalam tempoh sebulan lagi dijangka diadakan majlis pecah tanah projek tersebut.
 
“Selain menjana kuasa elektrik dan sumber air kepada manusia dan bidang pertanian, pembinaan empangan hidroelektrik itu juga penting untuk mencegah kejadian banjir di negeri ini,” katanya.
 
Kemaskini Terakhir : 29 / 04 / 2022 12:00 AM