Hari Moyang Puja Pantai

Hari Moyang dan Puja Pantai di Pulau Carey, Banting Selangor disambut semula tahun ini selepas dua tahun tidak diraikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
 
Perayaan ini disambut Masyarakat Orang Asli Mah Meri bagi mendapatkan perlindungan, pengampunan serta memohon nasib lebih baik daripada leluhur dan roh nenek moyang mereka.
 
Disambut turun temurun, ritual bermula apabila air laut surut sepenuhnya.
 
Kaum Mah Meri akan berarak menuju ke arah pantai terpencil sambil menari dan menyanyi, mengiringi dukun yang sedang menurun roh dan semangat nenek moyang mereka.
 
Hari Moyang dan Puja Pantai ini antara saki baki upacara tradisi kuno yang masih wujud, bagi memberi penghormatan kepada leluhur dan roh nenek moyang ketika tahun baharu.
Kemaskini Terakhir : 7 / 03 / 2022 10:17 AM