Inspirasi Orang Asli

“Tidak ada yang mustahil dalam hidup ini, seandainya kita berusaha dan terus berusaha, kita akan mencapai kejayaan yang kita impikan”.
 
Kata-kata di atas adalah prinsip yang dipegang erat oleh pemenang Anugerah Ikon Orang Asli Kebangsaan 2009, Ir. Ts. Mahat a/l Mat Dong SMP., AAP.
 
Anak jati Sg Lembing dari etnik Jakun, beliau percaya bahawa sekiranya tiada pendidikan, tidak mungkin beliau sampai ke tahap sekarang.
 
Kini, beliau diberikan amanah sebagai Ketua Penolong Setiausaha dan menjawat tugas Jurutera Mekanikal J48 di Jabatan Pengairan dan Saliran.
 
Mahat percaya dengan konsep beri semula kepada masyarakat (giving back to the society), telah melibatkan diri beliau dengan lebih daripada 80 seminar dan ceramah motivasi kepada Masyarakat Orang Asli.
 
Generasi yang sihat di samping memupuk semangat berani dan semangat kerja berpasukan merupakan harapan beliau kepada belia Orang Asli. 
 
Oleh itu, beliau aktif menganjurkan program-program sukan untuk belia Orang Asli seperti kejohanan futsal, bola sepak dan badminton.
 
“Masyarakat Orang Asli perlu berfikiran terbuka dan berani untuk berubah. Mereka perlu ubah paradigma dengan keluar daripada kepompong kehidupan sekarang ini.
 
Mahat juga menyeru generasi muda atau yang disebut generasi Y Orang Asli tampil merebut peluang yang disediakan pihak kerajaan pada masa ini untuk memajukan diri, keluarga dan kaum mereka.
 
Menurut beliau, jika pun mereka tidak cemerlang dari segi akademik, masih ada pilihan lain seperti bidang kemahiran untuk mereka menjadi usahawan.
 
“Kita mesti berani membuat perubahan, kena berusaha dan mesti sanggup berkorban. 
 
Kita mesti buktikan Orang Asli juga boleh berjaya seperti kaum lain.
 
“Saya harap generasi Y inilah yang akan menjadi generasi pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang untuk sama-sama membantu memajukan masyarakat Orang Asli.
 
“Jangan sesekali kita lupa asal usul kita. 
 
Kalau kita sendiri tidak membantu generasi Y ini, siapa lagi? Hanya kita yang tahu naluri, kehendak dan permasalahan masyarakat kita di kampung,” tegas Mahat.
 
Amat besar hasrat dan impian Mahat bagi masyarakat Orang Asli, tapi tiada apa yang mustahil selagi mana kita percaya dan berusaha sehabis baik.
 
Tahniah Mahat atas usaha bakti anda, semoga terus berjaya di dalam apa jua bidang yang diceburi.
 
Kemaskini Terakhir : 11 / 05 / 2022 12:00 AM