JAKOA Nafi Dakwaan Tiada Peruntukan Baiki Jalan di Kampung Orang Asli Pertak

JAKOA NAFI DAKWAAN TIADA PERUNTUKAN BAIKI JALAN DI KAMPUNG ORANG ASLI PERTAK
 
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan bahawa tiada peruntukan untuk membaiki jalan dari Kampung Orang Asli Pertak ke tanah perkuburan.
 
Menurut jabatan tersebut, semakan rekod Jakoa Hulu Selangor sejak 2017 mendapati tiada permohonan menaik taraf jalan dari Kampung Orang Asli Pertak ke tanah perkuburan seperti yang didakwa, manakala pada 9 Februari 2022, pihak Jakoa telah mengadakan lawatan ke kawasan yang dimaksudkan dan mencadangkan untuk menaik taraf jalan tersebut.
 
Walau bagaimanapun, beberapa penduduk kampung yang mengusahakan tapak perkhemahan dan juga pemilik kebun di kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana khuatir kawasan itu akan dimasuki pihak luar yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang boleh menyebabkan kerosakan jalan.
 
Pada tahun ini, kerajaan melalui jabatan itu sekali lagi mengadakan sesi libat urus bersama penduduk Kampung Orang Asli Pertak bagi tujuan menaik taraf jalan itu dan kesepakatan telah dicapai pada 9 Mac agar jalan tersebut dibaik pulih dan dinaik taraf.
 
Bagi tujuan tersebut, pihak Jakoa kini sedang dalam proses untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf seperti yang telah dipersetujui, sekaligus menjawab kepada dakwaan palsu sebuah portal tempatan yang melaporkan rayuan masyarakat Orang Asli Kampung Pertak di pekan Kuala Kubu Bharu yang mahu pihak berkuasa segera membaiki jalan dari penempatan mereka ke tanah perkuburan sejauh tiga kilometer tidak diendahkan.
Kemaskini Terakhir : 16 / 05 / 2024 05:03 PM