SG. SIPUT, 2 April – Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Hajah Sapiah Binti Dato’ Mohd Nor, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Di dalam ucapan, beliau meyarankan agar ibu bapa dan para guru harus memainkan peranan bagi membantu anak-anak Orang Asli untuk membuat perancangan terhadap laluan akademik dan kerjaya pada masa hadapan.
Ketua Pengarah turut menegaskan bahawa usaha mencapai kecemerlangan pelajaran seharusnya bermula dari rumah.
Ibu bapa adalah guru yang dikenali anak-anak.
Merekalah yang bertanggungjawab menanam nilai-nilai murni yang sesuai bagi membolehkan anak-anak cemerlang pada masa hadapan serta menjadi manusia yang dapat memanfaatkan agama, bangsa dan negara.
Tambahnya lagi, pendidikan seharusnya bersifat seumur hidup dan tidak ada noktah pada proses ini.
Ketua Pengarah turut berharap agar pihak PIBG, ketua-ketua komuniti, penghulu, tok-tok batin dan ibu bapa khususnya, bersama-sama memainkan peranan agar masalah keciciran dalam kalangan murid Orang Asli dapat ditangani sebaik mungkin.
Dikesempatan ini juga Ketua Pengarah mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang menerima sijil dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua guru yang menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan amanah yang diberikan bagi memastikan transformasi pendidikan berjalan lancar dan memenuhi aspirasi negara dalam memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilaksanakan dengan jayanya.
Turut hadir serta pada majlis ini adalah YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly Bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak; Encik Harulnizam bin Abdul Rahman, Pengarah Jakoa Negeri Perak dan juga Encik Suhairy Abdul Ghani, Pengawai Pembangunan Masyarakat.