GERIK, 23 Mac – Jauh perjalanan, luas pemandangan.
Amat bertepatan pepatah tersebut dengan KOA Sg Tiang.
Ekspedisi bot selama 40 minit tidak terasa dek kerana flora dan fauna yang disajikan sepanjang perjalanan.
JAKOA sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli melalui penjanaan pendapatan yang tetap dan stabil.
Di antara langkah awal dalam mengkomersialkan Chalet AKEKCHEP, pihak jabatan telah menyediakan bantuan awal seperti komputer riba, pencetak, kamera DSLR, sistem siar raya dan sebagainya di dalam anggaran kos RM50,000.
Semoga bantuan yang diberikan dapat memacu kegiatan sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan lebih banyak lagi koperasi yang tampil untuk memohon geran yang disediakan.
Di samping itu, KOA Sg Tiang juga adalah salah satu penerima Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar (BWA) di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dikelolakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Di bawah inisiatif ini, setiap penduduk hanya perlu mendaftar di atas talian menggunakan nombor kad pengenalan dan mereka boleh menikmati akses internet secara percuma sebanyak dua gigabit setiap minggu.
Turut hadir untuk memantau pelaksanaan dan penerimaan inisiatif ini ialah Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri SKMM, Tuan Haji Roslan Mohamad.
Selain itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi, Tuan Muhamad bin Abu Bakar serta Pengarah JAKOA Perak, Tuan Harulnizam bin Abd Rahman juga turut serta dalam program lawatan Ketua Pengarah ke KOA Sg Tiang dan Kg Klewang.