Majlis Penyerahan Ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Dala Fasa 8 & 9, Gerik Perak

Gerik, 17 April – Majlis Penyerahan Ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Dala Fasa 8 & 9 telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Haji Saarani Bin Mohamad.
 
Penyerahan ladang ini bertujuan untuk meningkatkan komoditi tanaman getah dan sawit yang berpotensi untuk menjadi pendapatan utama masyarakat Orang Asli di RPS Dala. Selain itu, sektor perladangan ini akan menyumbang kepada pelbagai peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan kepada penduduk setempat.
 
Dalam ucapan Ketua Pengarah JAKOA, Puan Hajah Sapiah Binti Dato’ Mohd Nor menyatakan bahawa Program Tanaman Semula Komersial (TSK) merupakan projek penanaman getah atau kelapa sawit yang dibangunkan oleh agensi pelaksana iaitu Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan melantik RISDA Plantation Sdn. Bhd. Bermula daripada peringkat pembangunan ladang sehingga pengeluaran dan pemasaran hasil.
 
Program ini juga akan memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli dalam bentuk peluang pekerjaan di ladang seperti penuaian buah tandan segar, meracun, membaja, dan peserta juga akan menerima dividen secara bulanan mengikut harga komoditi pasaran.
 
Turut hadir serta dalam majlis ini adalah, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggong, YB Dato’ Mohd Tarmizi Bin Haji Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri Kenering, Yang Berusaha Encik Muhammad Bin Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi JAKOA, Yang Berusaha, Encik Harulnizam Bin Abd Rahman, Pengarah JAKOA Perak.

Kemaskini Terakhir : 20 / 05 / 2022 11:59 PM