Majlis “Walk About YAB Perdana Menteri Dan Khidmat Komuniti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)”

BERA, 20 November 2021 – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah merasmikan Program 𝑾𝒂𝒍𝒌 𝑨𝒃𝒐𝒖𝒕 Perdana Menteri bersempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan JAKOA di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok petang tadi.
 
Program Perkhidmatan Pengajian Universiti Malaysia Untuk Masyarakat (SULAM) dijangka akan membuka ruang kepada lebih ramai anak masyarakat Orang Asli melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
 
Buat masa ini, JAKOA sedang bekerjasama dengan UPNM dalam memperhalusi program laluan khas kemasukan pelajar Orang Asli yang dijangka akan diperkenalkan tahun hadapan.
 
“Usaha membela dan memperkasakan masyarakat Orang Asli akan diteruskan dan kita yakin satu hari nanti, kita dapat melihat lebih ramai anak Orang Asli berpeluang mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional,” kata YAB Perdana Menteri dalam ucapan beliau.
 
“Kita juga akan memastikan sasaran menghantar sekurang-kurangnya 10 mahasiswa Orang Asli melanjutkan pengajian ke luar negara melalui (pembiayaan) Majlis Amanah Rakyat (MARA) diteruskan.” tambah beliau lagi.
 
Dalam program tersebut, YAB Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran Dokumen Kolaborasi Strategik di antara UPNM dan JAKOA serta penyerahan cek sura bernilai RM90,840 daripada Ketua Pengarah JAKOA, Puan Hajah Sapiah binti Dato’ Mohd Nor kepada Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya bin Abdullah.
 
Turut hadir mengiringi YAB Perdana Menteri ke program tersebut ialah Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid dan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Dato’ Dr Mah Hang Soon.
 
Kemaskini Terakhir : 13 / 05 / 2022 09:48 AM