Murid Orang Asli Dari SK Permatang Keledang, Pekan, Pahang Berbakat Besar Dalam Bidang Robotik

SK Permatang Keledang merupakan antara sekolah murid Orang Asli yang terletak di Pekan, Pahang.
 
Seramai 14 orang guru dan 137 murid bersekolah di situ yang mana hampir 90 peratus merupakan murid Orang Asli daripada suku kaum Jakun.
 
Sebilangan besar murid-murid pernah mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam robotik.
 
Antara kejayaan yang pernah diraih adalah Johan Kategori Lega di Pahang National Hackathon And Foxhunting 2019; Pertandingan RVG peringkat antarabangsa di Panama 6 hingga 14 Disember 2021; Pertandingan RBTX Petrosains peringkat kebangsaan 4 hingga 5 Disember 2021; Pertandingan RVG peringkat antarabangsa di Panama 6 hingga 14 Disember 2021 dan banyak lagi.
 
Akan datang, peserta robotik ini akan menyertai Pertandingan RBTX anjuran Petrosains 2022; Pertandingan Virtual RVG 2022 dan pertandingan antarabangsa di Korea dan Jepun.
 
“Satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan,” demikian kata Cikgu Mohd Zulkhairi Umar apabila berbicara mengenai bakat dan kebolehan murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan, Pahang dalam bidang robotik.
 
Beliau yang merupakan guru Bahasa Melayu di sekolah berkenaan berkata, murid-muridnya itu sangat berbakat dan berpotensi besar.
 
Cikgu Mohd Zulkhairi yang juga Penyelaras Robotik SK Permatang Keledang berkata, murid Orang Asli tetap sama seperti murid di sekolah lain.
 
Tambah guru ini lagi, murid Orang Asli mampu pergi lebih jauh jika mendapat pendedahan yang lebih dalam robotik.
 
“Murid yang terlibat dalam bidang robotik juga mempunyai keputusan akademik yang baik dalam pelajaran.
 
“Malah, mereka juga turut aktif dalam bidang sukan hingga ada antaranya dapat mewakili daerah dan negeri dalam sukan-sukan tertentu,” ujarnya lagi.
 
Dalam pada itu, Cikgu Mohd Zulkhairi mengharapkan yang murid-muridnya dapat bersaing secara sihat dan mampu membawa kejayaan berganda untuk sekolah.
 
“Jangan ada rasa rendah diri. Anda usaha, anda akan dapat. Percayalah,” ujarnya yang berhasrat akan terus meningkatkan kemahiran diri dalam robotik dan terus mencungkil bakat dan potensi murid-muridnya dalam bidang tersebut.
 
Sumber: Sinar Harian
Kemaskini Terakhir : 25 / 05 / 2022 11:57 PM