Orang Asli Pos Senderut Terima Air Bersih Terawat

LIPIS: Seramai 450 Orang Asli daripada 95 keluarga di Kampung Bukit Long, Pos Senderut, dekat sini, kini dapat menikmati bekalan air bersih terawat melalui pelaksanaan Projek Bekalan Air Bersih Etiqa.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Berhad, Shahrul Azuan Mohamed, berkata projek bermula November lalu itu dibiayai sepenuhnya oleh Etiqa menggunakan sistem SAFEWHERE yang dibangunkan oleh Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, sistem yang diberi nama ‘Safe Water Everywhere’ (SAFEWHERE) itu direka bagi membolehkan sistem bertahan lama dengan penyelenggaraan yang minimum.
“Sistem rawatan air ini juga dilengkapi prarawatan, tapisan dan sistem ‘Ultraviolet’ bagi memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan kepada komuniti Orang Asli Pos Senderut sepanjang tahun.
“Sistem rawatan air berkuasa solar ini dianggarkan dapat merawat 11,000 liter air setiap hari bagi menangani masalah akses air terawat kepada penduduk tempatan,” katanya.
Kemaskini Terakhir : 22 / 05 / 2022 11:50 PM