Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 pastikan transformasi pendidikan Orang Asli.
 
08/01/2022 12:09 PM
 
TANJUNG MALIM, 8 Jan — Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksanakan transformasi pendidikan Orang Asli dan pribumi menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti dan relevan seiring keperluan semasa.
 
Timbalan Menteri Pendidikan I Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata antara inisiatif itu ialah penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 sehingga K11.
 
Katanya, kerajaan melalui KPM mewujudkan kemudahan asrama di sekolah yang mempunyai enrolmen 100 peratus murid Orang Asli, program khas murid Orang Asli, program transformasi pendidikan bagi kumpulan itu yang bertujuan meningkatkan kadar kehadiran serta program intervensi murid Orang Asli dan pribumi.
 
“KPM juga mengambil pendekatan melalui pelbagai sesi libat urus dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan Negeri, ibu bapa, ketua komuniti, pertubuhan bukan kerajaan termasuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.
 
Mah berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketika merasmikan program Bersepadu Orang Asli 2022 Empowerncer Akademik @Perak di Panggung Percubaan anjuran NCER bersama UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, semalam.
 
Menerusi Bajet 2022, Mah berkata RM274 juta diperuntukkan kepada komuniti Orang Asli untuk melaksanakan program peningkatan taraf hidup seperti pemberian subsidi, bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan yang memanfaatkan hampir 200,000 orang, selain kadar wang saku murid sekolah menengah dinaikkan kepada RM4 sehari.
 
Dalam pada itu, Mah berkata pencapaian UPSI dalam kedudukan universiti dunia yang meningkat setiap tahun memperlihatkan keupayaannya dalam merealisasikan usaha memajukan pendidikan di daerah Muallim, Perak serta Malaysia.
 
Justeru, beliau berkata sumbangan besar NCER yang bekerjasama dengan UPSI dan institusi pendidikan lain memberi manfaat besar terhadap masyarakat termasuk Orang Asli, ibu bapa dan pendidik.
 
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata universiti itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada NCER dan KPM yang menjana pendidikan negara sehingga menjadikan Malaysia antara yang terbaik dalam rantau ini.
 
Ketua Bahagian Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datin Shahdee Ahmad pula berkata program yang bermula 2 Jan itu melibatkan 900 Orang Asli dari 15 sekolah di Muallim, Batang Padang, Kampar, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar.
 
Katanya, program itu bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan peratusan kehadiran murid Orang Asli terutama dalam fasa peralihan ke tahun enam dan sekolah menengah menerusi kaedah pengajaran tambahan berdasarkan modul pakar pendidikan UPSI seperti asas pembelajaran membaca, menulis dan mengira (3M), kelestarian minat, motivasi, kemahiran insaniah dan komunikasi.
 
Turut hadir pada program itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Norkhalid Salimin, Pendaftar UPSI Helmi Zaifura Abdul Rahman serta guru besar dari 15 sekolah yang menerima sijil kolaborasi.
— BERNAMA
261448869 202593045371341 3598361320415789209 n
Kemaskini Terakhir : 23 / 02 / 2022 11:58 AM