Pendaftaran & pemberian vaksin kepada masyarakat Kg. Kuala Kenong, Lipis

Hari ini saya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lipis telah turun padang bagi membantu urusan pendaftaran dan pemberian vaksin kepada masyarakat warga emas yang terlantar dan OKU di Kampung Kuala Kenong, Lipis.
 
Bagi mencapai objektif utama Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 iaitu imuniti kelompok dan seiring dengan usaha kerajaan untuk mempercepatkan roll-out vaksinasi, sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), prihatin dan mengambil kira maklum balas rakyat terutama di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada satu pun golongan yang tercicir dalam program ini.
 
Saya juga mendengar beberapa keluhan dan kerisauan anak-anak di perantauan kerana ada antara warga emas ini yang tidak mempunyai peranti untuk mendaftar mysejahtera, ada juga anak-anak yang bantu daftarkan, namun ada kekangan untuk membolehkan mereka hadir ke pusat vaksinasi seperti tiada kenderaan terutama yang terlantar dan tidak boleh bergerak atas faktor kesihatan.
 
Dalam masa yang sama usaha untuk meyakinkan masyarakat luar bandar tentang kepentingan vaksinasi terus dilakukan. Saya yakin dengan usaha, pujukan, dan penerangan menggunakan sains dan data, mereka ini akan ubah fikiran dan seterusnya mendaftarkan diri secara sukarela bagi mendapatkan vaksin ini.
 
Saya juga turut sampaikan bantuan Prihatin Pahang, kepada Ketua Isi Rumah dan pengusaha-pengusaha bot Kampung Kuala Kenong yang telah terjejas dari segi ekonomi akibat wabak covid 19 ini.
 
Kampung Kuala Kenong yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti eko-pelancongan kini turut terkesan berikutan pandemik ini. Saya harap agar bantuan yang disampaikan sedikit sebanyak meringankan beban dan keadaan akan pulih seperti sediakala dalam masa yang tidak begitu lama supaya pendapatan rakyat yang terkesan juga boleh dipulihkan.
 
Kemaskini Terakhir : 15 / 06 / 2021 09:54 AM