Penduduk Orang Asli Minta Kawalan Keselamatan Ditingkatkan

Gua Musang: Kira-kira 2,000 penduduk di Pos Bihai dan Pos Balar, di sini merayu supaya kawalan keselamatan di kawasan itu ditingkatkan berikutan ancaman harimau sejak beberapa hari lalu.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, maklum balas itu diterima hasil beberapa siri perjumpaan diadakan bersama penduduk di Tendrik, Bihai Lama dan Peyel bagi mendengar keluhan, kerisauan dan permintaan mereka.
 
Mohd Syahbuddin berkata, buat sementara waktu beliau memohon sekiranya tiada keperluan, penduduk kampung tidak keluar dari rumah masing-masing terutama di kawasan harimau berkeliaran di Pos Bihai dan Pos Balar.
 
Beliau berkata, bagi tujuan keselamatan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar ditutup bagi mengelak pelajar bertembung dengan harimau dipercayai masih berkeliaran di kawasan itu.
 
Menurutnya, bagi membantu penduduk terkesan dengan situasi semasa, bantuan makanan dihulurkan sejak 16 Disember lalu apabila penduduk dipindahkan dari Kampung Remau ke Kampung Tendrik.
 
1
Kemaskini Terakhir : 23 / 02 / 2022 11:39 AM