Perak Sedia Latihan TVET Orang Asli Ikut Demografi

BATU GAJAH – Kerajaan Perak menyediakan latihan kemahiran kepada orang asli menerusi Pemerkasaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut demografi masyarakat tersebut.
 
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pengkhususan latihan akan disesuaikan mengikut keperluan dan kawasan masyarakat orang asli tersebut.
 
Menurutnya, latihan kemahiran kepada orang asli yang dikendalikan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) itu akan memberikan nilai tambah dan pengetahuan untuk mereka meningkatkan pendapatan.
 
“Kita cuba membuat pengkhususan berdasarkan demografi masyarakat orang asli di kawasan tersebut. Sebagai contoh di Sungai Tiang, Tasik Banding kita lihat di situ ada tarikan pelancong.

Jadi kita telah bersetuju membuat latihan khusus kendalian Pasak iaitu kursus pengendalian bot dan membaiki enjin bot, sebab itu bidang yang diperlukan masyarakat orang asli di kawasan itu.
 
“Selain itu kita juga masyarakat orang asli di kawasan Tapah. Kita libat uruskan mereka bagi proses perniagaan dalam talian sebab kita melihat kebanyakan masyarakat di situ berminat dengan perniagaan dan mereka juga mempunyai rangkaian internet sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program Rewang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak di Institut GPMS Perak, di sini pada Ahad.
 
Sumber: Sinar Harian
Kemaskini Terakhir : 7 / 03 / 2022 10:17 AM