Perkhidmatan Bas Untuk Penduduk Orang Asli Sungai Siput

SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak memperkenalkan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera yang pertama seumpamanya bagi manfaat penduduk orang asli di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang.
 
Bas henti-henti yang akan memulakan operasi pada Isnin itu melibatkan empat buah bas dengan dua laluan sejauh 20 kilometer (km) iaitu Sungai Siput-Karai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong-Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Siput.
 
Bas ini beroperasi setiap hari untuk manfaat kepada kira-kira 15,000 hingga 20,000 penduduk setempat khususnya pelajar sekolah dan penduduk Orang Asli di sini.
 
Bagi Tok Batin Kampung Beswok Pos Yum, Mohd Daud Anjang, kemudahan tersebut sangat dialu-alukan penduduk kerana selama ini mereka terpaksa pergi sejauh 5km ke Lasah, di sini untuk menaiki bas.
 
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bantu penduduk luar bandar seperti kami mendapatkan kemudahan bas ini. Memang dah lama kami tunggu sebab kalau nak pergi pekan agak jauh dan tambang bas sebelum ini RM2.50 sehala dan kami terpaksa bermalam.
 
“Jadi dengan adanya perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ini, tambang pun RM1, sangat memudahkan dan meringankan beban penduduk yang kebanyakannya tiada kenderaan sendiri,” katanya.
 
komen portal
Kemaskini Terakhir : 17 / 02 / 2022 12:02 AM