Persembahan Orang Asli Terima Isyarat ‘Bagus’ Daripada PM

PUTRAJAYA: Persembahan Gema Orang Asal oleh Kumpulan Bah Bola di persimpangan Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini memukau pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan peserta program Berjalan Teguh Bersama, yang singgah menyaksikan persembahan tersebut ketika menyertai aktiviti berjalan kaki.
Menggunakan alat muzik tradisional seperti centong, kertuk buluh dan gong, Kumpulan Bah Bola memainkan irama asli Orang Asli iaitu lagu Bah Bola dan Geradong, diiringi tarian Sewang Orang Asli.
Ismail Sabri, anggota Kabinet dan Keluarga Malaysia yang sedang menyertai aktiviti berjalan dari Dataran Putra itu melalui persimpangan Kementerian Wilayah Persekutuan pada kira-kira 8.35 pagi apabila disambut dengan persembahan Orang Asli itu.
Perdana Menteri yang memegang Jalur Gemilang turut menunjukkan isyarat ‘bagus’ kepada kumpulan Bah Bola diketuai Bah Sali Bah Nap yang mengenakan pakaian dan perhiasan kepala diperbuat daripada kulit kayu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menari bersama kumpulan penari Bah Bola itu yang menggunakan dahan pokok sebagai aksesori dalam tarian.
Program Berjalan Teguh Bersama sejauh 2.7 kilometer itu diadakan bersempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dan disertai lebih 15,000 Keluarga Malaysia.
Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga itu yang membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia.
Bah Sali, 47, yang ditemui Bernama, berkata beliau dan pasukannya berasa bangga dapat melakukan persembahan di hadapan Ismail Sabri dalam program berkonsepkan Keluarga Malaysia.
Beliau yang membahasakan dirinya sebagai ‘Atuk’ berkata biarpun pernah membuat lebih 100 persembahan di hadapan pemimpin negara lain sebelum ini, persembahan kali ini terasa ‘lain’ kerana selain berdepan orang awam, anggota Kabinet turut menyaksikan secara dekat persembahan mereka.
“Atuk amat gembira dan ucap terima kasih kepada PM (Ismail Sabri) sebab sudi singgah saksikan persembahan anak-anak kami. Atuk rasa bangga dan rasa dihormati oleh pemerintah negara,” katanya.
Persembahan Orang Asli itu turut diiringi sorakan ceria orang ramai selain ada yang menari bersama dan mengambil peluang bergambar kenang-kenangan dengan Kumpulan Bah Bola. – BERNAMA
Kemaskini Terakhir : 2 / 09 / 2022 11:17 PM