PICKIDS: KPLB Aktifkan Semula Pasukan Khas Di Perkampungan Orang Asli

KOTA BAHRU, 12 April – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengaktifkan semula pasukan khas di perkampungan Orang Asli di seluruh negara bagi memberi penerangan mengenai kepentingan suntikan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak Orang Asli.
 
Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, terdapat 220,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negara dan daripada jumlah itu dianggarkan antara 30 hingga 35 peratus adalah golongan kanak-kanak.
Katanya, selepas Aidilfitri, pihaknya akan berusaha mengatur supaya kakitangan KPLB turun padang bagi menggalakkan masyarakat Orang Asli menerima suntikan vaksin.
 
“Jika sebelum ini, masyarakat Orang Asli menolak untuk mendapatkan suntikan vaksin, namun kekerapan pihak kami turun padang diharap dapat membantu meningkatkan pembabitan mereka dalam Program pemberian vaksin bagi kanak-kanak (PICKids).
 
“Jadi, pasukan khas ini perlu diaktifkan kembali kerana ia memainkan peranan penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
“Kita bimbang mereka mudah percaya jika membaca atau mendapatkan maklumat tidak betul mengenai suntikan vaksin,” katanya.
 
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pasukan khas berkenaan akan menjalinkan kerjasama dengan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain ketua kampung dan Tok Batin.
“Bagaimanapun, Tok Batin memainkan peranan penting bagi membantu menggalakkan kanak-kanak Orang Asli untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kerana rata-rata masyarakat Orang Asli patuh kepada arahan dan tindakan Tok Batin,” katanya.
 
Sumber: BERNAMA
Kemaskini Terakhir : 13 / 05 / 2022 12:00 AM