Program Jalinan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli Johor Bahru

GELANG PATAH, 9 Mac – Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, Tuan Haji Mohd Zamri bin Mustajap telah merasmikan Program Jalinan Kasih bersama masyarakat Orang Asli di KOA Simpang Arang sebentar tadi.
 
Kebajikan dan kemudahan Orang Asli sentiasa menjadi fokus jabatan, oleh itu untuk memeriahkan majlis beberapa agensi awam telah dijemput untuk hadir bersama.
 
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah membuka kaunter sejak semalam bagi memudahkan proses pendaftaran kelahiran atau penukaran kad pengenalan.
 
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Klinik Pergigian Johor Bahru turut mengadakan pameran dan memberi informasi serta pemeriksaan gigi secara percuma kepada penduduk yang hadir.
 
Kemuncak program adalah ketika Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan demonstrasi menyelamat mangsa kebakaran.
 
Majlis diserikan lagi dengan sesi penyampaian beg sekolah daripada KEMAS dan pemenang sukan rakyat kelolaan PKOAD Johor Bahru.
 
Rata-rata penduduk yang hadir amat gembira dengan program yang dilakukan walaupun dilakukan dalam norma baharu, serta berharap ia akan diadakan lagi pada masa akan datang.
 
Turut hadir di dalam program tersebut ialah Pengarah JAKOA Johor, Tuan Faisal bin Long dan Pegawai KEMAS Johor Bahru, En Mustafa bin Mohd Noor.
 
Untuk makluman, penduduk KOA Simpang Arang seramai 989 orang dari etnik Seletar dipimpin oleh Batin Nuri.
 
Kemaskini Terakhir : 9 / 04 / 2022 12:00 AM