7 Oktober 2023, Sungai Siput – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan semua lapisan masyarakat yang layak dapat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Bin Nasution, hari ini hadir menyempurnakan Program MEKAR Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Kuala Mu, Perak. Turut hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Siput, YB Tuan Kesavan A/L Subramaniam.
Sebanyak 7 gantian kad pengenalan, 1 permohonan kad pengenalan 12 Tahun dan 4 sijil kelahiran telah diproses dan diserahkan pada hari ini. Program MEKAR bersama masyarakat Orang Asli di kawasan Sungai Siput merupakan program berkala anjuran JPN Negeri Perak dan pada kali ini merupakan penganjuran kali ke dua (2) pada tahun ini.
Program MEKAR ini bukan sahaja bertujuan untuk menangani isu keciciran untuk memiliki dokumen pengenalan diri namun dapat memudahkan urusan pendaftaran masyarakat orang asli di penempatan Pos Kuala Mu memandangkan pejabat terdekat untuk mereka berurusan adalah JPN Daerah Sungai Siput (U) dengan jarak 66 km dan mengambil masa 60 minit untuk sampai ke pejabat tersebut.