Program penerangan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada wakil masyarakat Orang Asli bagi Daerah Gombak & Petaling dan juga Hulu Selangor

PROGRAM PENERANGAN IMUNISASI COVID-19 BERSAMA WAKIL MASYARAKAT ORANG ASLI DAERAH GOMBAK, PETALING DAN HULU SELANGOR.
 
Program penerangan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada wakil masyarakat Orang Asli bagi Daerah Gombak & Petaling dan juga Hulu Selangor telah diadakan pada 30 Mac 2021 di Auditorium Muzium Orang Asli Gombak.
 
Objektif majlis ini diadakan untuk menjelaskan kepada komuniti Orang Asli tentang kepentingan imunisasi Covid-19 yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan sekaligus membantu kerajaan menjayakan PICK.
 
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan, Encik Zainul Adnan Bin Zainal Abidin turut hadir ke program ini sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kerajaan memerangi wabak Covid-19. 
 
Hadir sama ialah En. Ahmad Suhaimi Bin Alias sebagai wakil Pegawai JAKOA Daerah Gombak & Petaling, En. Azri A/L Satun (Pegawai JAKOA Daerah Hulu Selangor) dan Puan Fauziah Binti Omar (Ketua Unit PMK JAKOA Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan). Seramai 23 orang Yang Diadatkan Tok Batin dan 24 orang Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kampung Orang Asli (JPKKOA) daerah telah menyertai program ini.
 
Taklimat penerangan PICK telah disampaikan oleh Dr. Juliana Binti Mat Sutris (Ketua Seksyen Perkhidmatan Kesihatan Awam Komuniti Orang Asli HOAG), Puan Rabiah Binti Mamat (Ketua Unit Farmasi HOAG) dan Dr. Maryam Nabihah Binti Mustafa selaku koordinator PICK Hospital Orang Asli, Gombak. Sesi soal jawab antara penceramah dan para peserta juga telah diadakan.
 
Program ini telah berjaya memantapkan pemahaman Yang Diadatkan para Tok Batin dan Pengerusi JPKKOA tentang imunisasi Covid-19, menangkis kekeliruan berhubung vaksin Covid-19 dan meningkatkan tahap keyakinan masyarakat Orang Asli bahawa vaksinasi Covid-19 adalah selamat dan berkesan.
 
Semoga masyarakat Orang Asli bersama-sama menyokong PICK.
 
#Lindungi diri, lindungi semua
Kemaskini Terakhir : 8 / 05 / 2021 09:47 PM