KUALA LUMPUR, 17 Nov — Program peningkatan pendapatan penduduk kampung Orang Asli bakal diperluas ke lima lagi perkampungan masyarakat itu dalam tempoh tiga bulan ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi, namun masih memerlukan perancangan yang rapi.
Beliau berkata program di bawah Jabatan Pertanian dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli itu kini dilaksana di Perkampungan Orang Asli Bukit Lagong, Selayang di sini, bagi mengeluar dan memperkasa produk pertanian Orang Asli di samping memperkukuh jenama produk mereka untuk dipasarkan.
“Matlamat program ini adalah untuk membantu Orang Asli dalam meningkatkan sumber pendapatan melalui aktiviti penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya selepas merasmikan program tersebut di sini, hari ini.
Katanya program itu juga selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan.
Pada majlis itu, 35 keluarga Orang Asli di kampung berkenaan menerima bantuan benih tanaman dan anak pokok antaranya kelapa pandan, durian D197, cempedak, dokong, rambutan serta durian belanda.
— BERNAMA