Ramai Orang Asli Jadi Guru, Masuk Universiti

KUALA PILAH – Masyarakat Orang Asli di Rengas, Johol di sini, mampu berbangga dengan pencapaian generasi ketiga mereka apabila seramai enam orang berjaya bergelar guru, manakala dua lagi menjejakkan kaki di menara gading.
 
Tok Memputih, Bidin Omar, 73, berkata, perkampungan yang dihuni oleh masyarakat Orang Asli suku Temuan berkenaan sudah mula diduduki sejak tahun 1963 dan kini mempunyai sebanyak 87 penduduk daripada 22 buah keluarga.
 
“Pendidikan bukanlah sesuatu yang asing di sini, lebih-lebih lagi Tok Batin kami juga sangat mementingkan pendidikan serta merupakan seorang pesara guru,” katanya ketika ditemui sempena Program Motivasi dan Anugerah Cemerlang untuk Pelajar Anak Orang Asal di Balairaya Kampung Air Rengas, Johol di sini semalam.
 
Seorang guru Orang Asli, Jasli Jamil, 28, yang mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Tunku Kurshiah, Kuala Pilah berkata, generasi ketiga yang lahir selepas era 80-an sudah pun terdedah dengan dunia luar serta mementingkan pendidikan.
 
Antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian itu adalah kerana ramai gene­rasi kedua sudah bekerja di luar serta terdapatnya sekolah berhampiran penempatan mereka.
 
“Jadi tiada lagi alasan untuk tidak ke sekolah dan semuanya sudah terdedah dengan dunia pendidikan. Malah, sekiranya ditanya kepada kanak-kanak di perkampungan ini juga, rata-rata mereka mempunyai hala tuju serta cita-cita masing-masing.
 
“Sebagai orang Asli, saya sa­ngat berbangga dengan kejayaan masyarakat di sini kerana bukan sesuatu yang mudah jika dilihat dari segi sosial dan ekonomi.
 
“Malah, ada antara kami yang menjadi guru inovasi serta jurulatih utama,” ujarnya.
 
Sementara itu, Hasliana Sharif, 18, memberitahu, walaupun gagal memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) seperti rakan sekampung lain, dia tidak pernah patah semangat.
 
Sebaliknya, dia berjaya me­nyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara Seremban 3 dalam jurusan Diploma Pentadbiran Korporat selepas mempe­roleh keputusan 5A dalam pepe­riksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021.
 
“Saya mahu jadi pegawai tadbir diplomatik. Saya berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa guru itu wajib dihormati dan atas sebab itu, saya mendapat keputusan cemerlang,” ujarnya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dangi.
 
Sumber: Kosmo Online
Kemaskini Terakhir : 26 / 08 / 2022 04:02 PM
Skip to content