Remaja Orang Asli Terima Vaksin Demi Rindu Sekolah

KEMAMAN, 27 Sept – Rindu untuk kembali ke sekolah mendorong seorang remaja orang asli kaum Semaq Beri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kampung Sungai Pergam di sini.
 
Mohd. Shah Sharif, 16, yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Neram turut mengambil inisiatif memujuk rakan-rakan Orang Asli yang lain untuk turut sama menerima suntikan tersebut.
 
“Hampir enam bulan rasanya tidak ke sekolah. Saya rindu hendak belajar di sekolah dan berjumpa semula dengan guru-guru.
 
“Belajar di rumah tidak sama seperti belajar di sekolah, lagipun, kemudahan Internet di sini kadangkala mengalami gangguan. Saya bimbang akan terus ketinggalan dalam pelajaran jika berterusan begini,” katanya.
 
“Saya berkata dalam hati, bimbang dijangkiti Covid-19 jauh lebih serius dan berbahaya daripada takut jarum,” katanya.
Kemaskini Terakhir : 1 / 10 / 2021 09:23 AM