Sejarah JAKOA

Laman Utama » Umum » Sejarah JAKOA

Sejarah JAKOA

Evolusi Pentadbiran Masyarakat Orang Asli

Sejarah Pembikinan Lagu Tugas Mulia

Mantan Ketua Pengarah

1. PDR William Hunt

PDR WILLIAM HUNT

 

Tempoh Berkhidmat (1949 – 1953)

 
Peter Darrel Williams-Hunt dilantik oleh kerajaan kolonial sebagai Penasihat bagi Hal Ehwal Orang Asli menggantikan jawatan Pelindung Orang Asli pada 1949. Dilahirkan di Berkshire, England pada 2 Julai 1919, beliau banyak membuat kajian tentang masyarakat Orang Asli. Minat beliau terhadap masyarakat Orang Asli membuatkan beliau mengambil keputusan untuk berkahwin dengan gadis suku kaum Senoi-Semai bernama Wa Draman, anak kepada Bah Kangsar dari Changkat Limau, Daerah Batang Padang, Perak. Semasa menjadi penasihat bagi hal ehwal Orang Asli, beliau banyak berusaha dalam menjaga kebajikan Orang Asli. Namun usaha beliau untuk mengubah nasib Orang Asli tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat kemalangan uara di Tapah, Perak pada 3 Jun 1953. Beliau dikebumikan di perkampungan isterinya ketika berusia 34 tahun dan meninggalkan seorang anak lelaki bernama Anthony.
2. R.O.D Noone

R.O.D. NOONE

 

Tempoh Berkhidmat (1953 – 1961)

 

ROD Noone atau lebih dikenali sebagai Dick Noone dilantik menjadi Penasihat hal ehwal Orang Asli pada 1953 selepas beberapa bulan kematian Peter Darrel Williams-Hunt. Beliau merupakan adik kepada Pat Noone dan mendapat pendidikan dalam bidang Antropologi di University of Cambridge. Pelantikan beliau sebagai penasihat hal ehwal Orang Asli merupakan pilihan yang tepat memandangkan pengalaman serta pengetahuan beliau yang luas tentang Tanah Melayu dan Orang Asli. Beliau membantu Orang Asli dengan mewujudkan Jabatan yang lebih lengkap. Melalui usaha beliau, setiap negeri yang mempunyai jumlah Orang Asli yang ramai mempunyai Pelindung Orang Asli. Keadaan ini memudahkan kerajaan kolonial menyalurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli. Selain itu, atas usaha beliau juga pasukan “Senoi Praaq” pada bulan Mei 1956 diwujudkan dan beliau sendiri telah dilantik sebagai Leftenan Kolonel.

3. Dr. Iskandar Carey

DR. ISKANDAR CAREY

 

Tempoh Berkhidmat (1961 – 1969)

 

Dr. Haji Iskandar Yusof Carey dilantik sebagai Penolong Penasihat Orang Asli di Pejabat Muzium dan Penyelidikan Orang Asli pada 1 Julai 1955. Pada 19 Julai 1956, beliau dilantik sebagai Pengarah Muzium dan Penasihat Hal Ehwal Orang Asli. Akhirnya, pada 14 September 1961, beliau dinaikkan pangkat dan berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Orang Asli sehingga tempoh persaraan pada 18 Ogos 1969. Antara kemahiran beliau ialah beliau boleh menulis jawi, berbahasa Temiar, Jerman dan Perancis. Pada 1969, beliau dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan, iaitu Kesatria Mangku Negara(KMN) atas jasa dan perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan dalam perkhidmatan dan penyelidikan Orang Asli.

4. Datuk Dr. Baharon Azhar bin Raffie'i

DATUK DR. BAHARON AZHAR BIN RAFFIE’I

 

Tempoh Berkhidmat (1969-1986)

 

Datuk Dr. Baharon Azhar bin Raffie’i dilahirkan pada 17 Februari 1939 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Antropologi Sosial pada 1963 di King’s College, University of Durham, England dan pada 1974, beliau terus melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah di King’s College, University of Cambrigde, England. Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Orang Asli pada 1963 dan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli Tingkatan Tertinggi “E” pada 1978. Beliau dikurniakan Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1976. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah sambilan di Universiti Malaya pada 1968 hingga 1969 dan perunding di CIRDAP, Bangladesh, FAO pada 1981 hingga 1983. Beliau fasih bertutur bahasa Temiar dan Semai.

5. Dato’ Jimin bin Idris

DATO’ JIMIN BIN IDRIS

 

Tempoh Berkhidmat (1986 – 1992)

 

Dato’ Jimin bin Idris dilahirkan pada 31 Mac 1941 di Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak pada 1955-1961 sehingga peringkat Sijil Tinggi Persekolahan. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Sosiologi/Antropologi dari University of Western Australian, Perth pada 1962 hingga 1965, Sijil dalam Kajian Penduduk di East-West Centre, University of Hawaii pada 1970, Diploma dalam Perancangan Sosial di London School of Economics pada 1973 hingga 1974 dan Sijil Kursus Kaedah Kuantitatif INTAN pada Ogos 1978. Pada 1966 beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan bertugas sebagai pensyarah sambilan di Universiti Malaya pada 1968 hingga 1971 dan kemudiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1971 hingga 1973. Beliau fasih bertutur bahasa Temiar dan Semai.

6. En. Hasan bin Ishak

EN. HASAN BIN ISHAK

 

Tempoh Berkhidmat (1992 – 1995)

 

Beliau mula berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam pada 24 Mac 1966. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya sebelum melanjutkan pengajian di Cambridge Overseas Higher School Certificate (CANTAB), Certificate in Development dan seterusnya pada 1980 ke peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di University Oregon, Portland, Amerika Syarikat. Beliau dilahirkan pada 28 Ogos 1940 di Kota Bharu, Kelantan dan mula berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 1 Jun 1988 dengan memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah. Pada 1 Januari 1993, beliau diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Pengarah JHEOA sehingga bersara pada 28 Ogos 1995.

7. Hj. Ikram bin Jamaluddin

HJ. IKRAM BIN JAMALUDDIN

 

Tempoh Berkhidmat (1996 – 1997)

 

Dato’ Haji Ikram bin Jamaluddin dilahirkan pada 14 Oktober 1947 di Kampar, Perak dan mendapat pendidikan awal di peringkat SC/MCE/HSC Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya pada 1971 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu manakala Diploma dalam Pentadbiran Awam pada 1974. Pada 1982 beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Awam dari Pennsylvania State University, Amerika Syarikat. Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah JHEOA pada 1996 hingga 1997, beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Kemajuan Negeri Melaka (1977-1978), Pemangku Timbalan Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (1978-1982), Setiausaha Bahagian Ekonomi Pertanian (1982-1985), Pegawai Daerah Batang Padang (1985-1991) dan Pegawai Kemajuan Negeri Perak (1991-1995.

8. Dato’ Hj. Ahmad Saleh bin Hj. Sarif

DATO’ HJ. AHMAD SALEH BIN HJ. SARIF

 

Tempoh Berkhidmat (1998 – 2000)

 

Dato’ Haji Ahmad Salleh bin Haji Sarif dilahirkan pada 9 Ogos 1950 di negeri Perak Darul Ridzuan. Beliau mempunyai latar belakang pendidikan BEC (Kepujian) di Universiti Malaya pada 1972 dan seterusnya Ijazah Sarjana dari Miami University, Oxford, Ohio, Amerika Syarikat pada 1982. Bagi mengenang jasa beliau yang besar terhadap kemajuan masyarakat Orang Asli, beliau dianugerahkan pingat PCM Perak pada 1993 dan pingat DPMP Perak pada 1996 yang membawa gelaran Dato’.

9. En. Md. Rosnan bin Sulaiman

EN. MD. ROSNAN BIN SULAIMAN

 

Tempoh Berkhidmat (2000 – 2002)

 

Md. Rosnan bin Sulaiman dilahirkan pada 29 Januari 1949 dan merupakan anak jati negeri Melaka. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pentadbiran Awam) dari Universiti Malaya pada 1969. Pada 1981, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Pentadbiran dan Dasar Awam di University of Wisconsin, Amerika Syarikat dan mendapat MA (PPA). Beliau pernah menyandang jawatan Setiausaha Bahagian Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 16 Mei 1999. Pada 10 Julai 2000, beliau diberi kepercayaan untuk menerajui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sebagai Ketua Pengarah sehingga tahun 2002.

10. Hj. Yahaya bin Hj. Awang

HJ. YAHAYA BIN HJ. AWANG

 

Tempoh Berkhidmat (2002 – 2003)

 

Datuk Haji Yahya bin Haji Awang dilahirkan pada 15 Jun 1947 di Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Beliau mendapat pendidikan awal OSC – 3 pada 1968 dan HSC (Sijil Penuh) pada 1973. Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 1974 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Sains Kemasyarakatan. Pada 1977, beliau mengikuti Kursus Diploma Pentadbiran Awam (Pra Pegawai Tadbir Diplomatik) di INTAN. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Sains Sosial (Bandar) dan Wilayah di University of Birmingham, United Kingdom pada 1984. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah JHEOA pada 16 Jun 2002 sehingga 2003. Mulai tahun 2016 hingga kini, beliau berkhidmat sebagai Pensyarah di Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences (IRKHS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

11. En. Mohamad Izat bin Hassan

EN. MOHAMAD IZAT BIN HASSAN

 

Tempoh Berkhidmat (2003 – 2004)

 

Dato’ Mohammad Izat bin Hasan dilahirkan pada 27 Julai 1953 di Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan di Universiti Malaya pada 1976 di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam Perancangan Bandar dan Wilayah (WISC) (AS) pada 1984. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah JHEOA ke-10 pada 16 Jun 2003 sehingga 2004. Kini, beliau menjawat jawatan Ahli Lembaga Pengarah Rubber Industry Smallholders Development Authority (RISDA) Holdings, yang merupakan sebuah agensi badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

12. Dato’ Fadzli bin Mahamud

DATO’ FADZLI BIN MAHAMUD

 

Tempoh Berkhidmat (2004 – 2008)

 

Dato’ Fadzil bin Mohamad dilahirkan pada 12 Februari 1953 di negeri Kedah Darul Aman. Beliau mendapat pendidikan sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Ekonomi serta Diploma Pengurusan Awam (INTAN) pada 1977/1978. Beliau menerajui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dari tahun 2004 sehingga 19 Februari 2008. Bagi mengenang sumbangan serta jasa beliau yang besar sepanjang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam, pada 24 Oktober 2005 beliau di anugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-75 Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

13. Dato’ Hj. Sani bin Mistam

DATO’ HJ. SANI BIN MISTAM

 

Tempoh Berkhidmat (2008 – 2014)

 

Dato’ Haji Mohd Sani bin Mistam dilahirkan pada 13 Februari 1957 di Muar, Johor Darul Takzim. Beliau mendapat kelulusan dari Universiti Malaya dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian pada 1986 dan menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam Pembangunan Ekonomi (CDE) di Williams College, Amerika Syarikat pada 1996. Seterusnya mengikuti Kursus Diploma dalam Pentadbiran Awam di INTAN pada 1983. Beliau pernah bertugas sebagai Pengarah Bahagian Korporat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia sebelum menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 24 Mac 2008. Di bawah pentadbiran beliau, Jabatan Kemajuan Orang Asli (yang dahulunya dikenali sebagai JHEOA) telah banyak mencapai kejayaan khususnya dalam membantu membela nasib masyarakat Orang Asli. Beliau dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-79 Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 24 Oktober 2009.

14. Dato’ Hasnan bin Hassan

DATO’ HASNAN BIN HASSAN

 

Tempoh Berkhidmat (2014 – 2016)

 

Dato’ Hasnan bin Hassan dilahirkan pada 13 Mei 1962 di Jasin, Melaka. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Ekonomi pada tahun 1985. Seterusnya mengikuti Kursus Diploma dalam Pengurusan Awam di INTAN pada 1988. Beliau memulakan kerjanya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 1988. Pada tahun 2003, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pelaburan dan Anak Syarikat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian pada tahun 2009 hingga 2011. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), KKLW pada tahun 2012 hingga 2014 sebelum menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bermula pada 10 September 2014 hingga 13 Mei 2016, yang merupakan tarikh persaraan beliau dalam perkhidmatan awam. Beliau dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-84 Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada tahun 2014.

15. En. Mohd Jamalludin bin Kasbi

EN. MOHD JAMALLUDIN BIN KASBI

 

Tempoh Berkhidmat (2016 – 2017)

 

Jamalludin bin Kasbi dilahirkan pada 8 Disember 1957 di Johor. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Sastera pengkhususan Sosiologi dan Sejarah pada tahun 1981 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir Am (PTA) pada 14 Disember 1981. Pada tahun 1983, beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Pada 15 / 10 /1991, beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Bermula dari itu hingga tahun 1995, beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Kuala Lumpur. Dari tahun 2001 hingga 2004, beliau bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Cawangan Wilayah Selatan, Johor Bahru. Beliau juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) dan Setiausaha Bahagian Kewangan di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada tahun 2011 hingga 2016 sebelum menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada 16 Jun 2016.

16. Dato’ Ajis bin Sitin

Dato' Ajis Bin Sitin (2018-2019)DATO’ AJIS BIN SITIN

 

Tempoh Berkhidmat (2017 – 2019)

 

Ajis bin Sitin dilahirkan pada 8 April 1963 di Kampung Orang Asli, Kuala Koyan, Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan Ketua Pengarah yang pertama dari kalangan masyarakat Orang Asli suku kaum Semai. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang kejuruteraan awam pada tahun 1987 dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai Jurutera Kerja Jalan (Senggara) di Jabatan Kerja Raya, negeri Pahang pada tahun 1990 hingga 1997. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Jurutera Awam Penguasa Kanan di Cawangan Bangunan Am 2, IP JKR Malaysia, Kuala Lumpur selama setengah tahun pada tahun 2017 sebelum menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bermula tahun 2017. Pada 1 Mei 2018, beliau yang merupakan seorang dari kalangan kaum Orang Asli pertama yang menjawat jawatan Ketua Pengarah JAKOA.

17. Prof. Dr. Juli Edo

PROF. DR. JULI EDO

 

Tempoh Berkhidmat (2019 – 2021)

 

Prof. Dr. Juli A/L Edo dilahirkan pada 29 April 1959 di Kampung Changkat Kereta (nama asal bagi Kampung Erong), Ulu Bernam, Perak. Beliau merupakan Ketua Pengarah yang kedua dari kalangan masyarakat Orang Asli suku kaum Semai. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Antropologi dan Sosiologi pada tahun 1985 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seterusnya, beliau menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang Antropologi dan Sosiologi pada Ogos 1988. Beliau telah dianugerahkan biasiswa di bawah Skim Latihan Kakitangan Akademik, Universiti Malaya untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat Doktor Falsafah di Australia National University (ANU), Canberra, Australia pada 25 Mac 1994 hingga menamatkan pengajian beliau dengan mengemukakan tesisnya yang berjudul, “Claiming Our Ancestros” Land : An Ethnohistorical Study of the Seng-Oi Perak, Malaysia” pada 25 Mac 1998. Beliau dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) pada April 1999. Pada akhir tahun 1999, beliau telah dinaikkan pangkat kepada Profesor Madya dan seterusnya sebagai Timbalan Dekan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM). Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKOA dari tahun 2019 hingga tempoh perkhidmatan beliau tamat paada 29 April 2021.