Selamat menempuh 14 hari yang mencabar dengan jujur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Selamat menempuh 14 hari yang mencabar dengan jujur.
 
Tepat jam 12.01 tengah malam ini, maka berkuatkuasalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga di enam buah negeri dan dua Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di dua negeri.
 
Pelaksanaan semula PKP selepas beberapa kelonggaran bukan keputusan luar biasa dalam era pandemik #COVID19 ini. Beberapa negara terutama di Eropah dan Asia telah mengambil tindakan yang sama susulan kes jangkitan kembali meningkat selepas semua sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi semula.
Selepas 7 Disember 2020, kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dengan mengambil kira situasi semasa ketika itu yang mana kebanyakan kes jangkitan berlaku dalam kalangan pekerja asing dan terkawal.
 
Namun, dalam masa singkat, jangkitan mula merebak dalam kalangan rakyat tempatan dan dalam komuniti. Ketika ini, lebih 70% kes positif adalah rakyat tempatan.
Dengan peningkatan mendadak purata 2,000 kes sehari malah pernah melebihi 3,000 kes sehari, strategi yang diguna pakai KKM didapati tidak lagi berkesan dalam usaha mengimbangi keperluan kesihatan dan ekonomi.
 
Dengan kes baharu lebih 2,000 sehari, fasiliti kesihatan KKM tidak lagi mampu menampung bilangan pesakit.
 
Mengikut unjuran, kes harian boleh mencecah 5,000 kes sehari pada Februari dan 8,000 kes sehari pada Mac.
 
Jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas mulai sekarang, sistem perkhidmatan kesihatan kita akan runtuh dan tidak lagi mampu berfungsi seperti yang berlaku di beberapa negara di dunia termasuk negara-negara jiran.
 
Justeru, KKM perlu melaksanakan strategi baharu yang berkesan dalam tempoh singkat iaitu dengan mengehadkan pergerakan orang awam untuk memutuskan rantaian jangkitan dan pada masa yang sama menjalankan secara lebih aktif aktiviti pengesanan, saringan dan pengasingan/rawatan.
 
Strategi ini adalah satu keperluan mendesak kerana penularan jangkitan terutama di enam buah negeri zon merah itu semakin tidak terkawal dan dibimbangi menular ke negeri-negeri lain.
 
Kita berdoa agar tempoh 14 hari memadai kerana banyak pihak yang akan ‘terluka’ jika dilanjutkan – pekerja, peniaga, majikan, industri dan kerajaan.
 
Dalam tempoh 2 minggu yang sangat mencabar ini, semua pihak tanpa mengira status sosial atau ekonomi perlu mematuhi sepenuhnya arahan, SOP dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Tempuhi tempoh 2 minggu ini dengan jujur, jangan ada yang ‘curang’.
 
Sasaran kita bukan zero kes kerana itu mustahil, tapi cukup kepada satu angka yang membolehkan penularan jangkitan dikawal sepenuhnya daripada terus merebak.
Marilah kita sekali lagi berganding bahu menyelamatkan negara seperti yang kita lakukan ketika gelombang kedua. Tugas ini bukan hanya terletak di bahu petugas kesihatan KKM tapi tanggungjawab kita semua.
 
Kita berusaha dan kita berdoa kepada Tuhan. Selamatkan dan lindungiku negaraku, Malaysia.
 
-admin-
Kemaskini Terakhir : 13 / 02 / 2021 12:00 AM