Sempat menoreh getah sebelum dibaham harimau

GUA MUSANG – Mayat Orang Asli yang dibaham harimau belang selamat dikebumikan mengikut adat tradisional masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini petang semalam.

Sebelum itu, jenazah mangsa, Anek Along, 59, yang berada di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang dibawa pulang ke Kampung Sau dengan kenderaan pacuan empat roda.

Anak ketiga mangsa, Seni Anek, 30, berkata, dia bersama enam lagi adik-beradiknya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa bapanya.

Katanya, sebelum dibaham harimau bapanya sempat menoreh getah berdekatan rumahnya.

“Ketika ahli keluarga dan jiran sekampung sedang memasak untuk sambutan kenduri padi, bapa sempat menoreh pokok getah yang terletak kira-kira 1.8 meter dari rumah kami.

“Adik perempuan saya yang berusia 24 tahun mendengar jeritan ayah meminta tolong sehingga mayat ayah ditemui bersama seekor harimau belang,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini semalam.

Seni berkata, bapanya merupakan penoreh getah dan tinggal bersama empat lagi adik-beradiknya selepas kematian ibu tiga tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab bagi mengurus penghantaran pulang jenazah Orang Asli berkenaan.

Katanya, Jakoa bersimpati dan mengucapkan takziah selain mengharapkan keluarga Anek tabah dalam menghadapi dugaan itu.

Hadir sama melawat waris mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang Ielaki Orang Asli, Anek Along, 59, ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu.

Harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram yang menyerang mangsa berjaya ditembak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada hari yang sama. – K! ONLINE

271206633 293750172782479 5555940023532275874 n 3
Kemaskini Terakhir : 23 / 02 / 2022 11:55 AM