jakoa-faq | jakoa-call | jakoa-feedback | jakoa-sitemap

Sukan

Laman Utama ยป Sukan

Orang Asli di Malaysia kini semakin cemerlang apabila melakar kejayaan berterusan dalam bidang akademik dan juga sukan. Bakat dan usaha masyarakat ini seharusnya diraikan bersama kerana mereka juga layak untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Kerajaan juga menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terus membantu memperkasakan taraf pembangunan kehidupan, pendidikan dan sosio ekonomi mereka. Antara Orang Asli yang menyinar adalah seperti berikut:-

asli2

Zumika Azmi dan Sasha Azmi

Zumika Azmi, 19 dan Sasha Azmi,17 yang berasal dari suku kaum Temiar dan berasal dari Gua Musang Kelantan ini aktif bersukan sejak dari sekolah lagi sehingga berjaya mewakili Malaysia dalam sukan kriket. Kedua-adik beradik yang merupakan pemain skuad negara kini menjalani latihan bersama jurulatih Thushara Prabath Kodikara sejak bulan Ogos 2020. Zumika dan Sasha Azmi yang berasal dari perkampungan Orang Asli Pos Gob, Gua Musang, Kelantan ini membantu skuad kriket negara meraih pingat gangsa acara T20 Sukan SEA.
asli4

Norashikin Mohamad Sayed

Gadis ini merupakan anak orang asli pertama yang mewakili negara dalam Sukan Layar. Norashikin mula menunjukkan bakatnya dalam bidang sukan layar bermula dengan berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang. Dia juga merupakan graduan UITM Perlis dalam jurusan Diploma Sains Sukan. Pencapaiannya juga sangat memberangsangkan apabila dia memperoleh pingat emas Kejohanan Kapal Layar Asia di China 2010, pingat perak Sukan Asia China 2010, pingat gangsa Sukan SEA Myanmar 2012, pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan pingat perak Sukan SEA KL 2017.
asli6

Muhammad Nasri bin Mamat a.k.a Limakjimar

Muhammad Nasri bin Mamat a.k.a Limakjimar (jersi Barcelona) dan sahabatnya Zaidi Bin Rashid akhirnya temui platform terbaik untuk menggilap bakat mereka dalam dunia bola sepak apabila dilamar persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk mencuba nasib dalam pemilihan pemain skuad Piala Presiden Kelantan. Galakan dan sokongan yang telah diberikan oleh KAFA ini mampu menyuntik semangat dan keyakinan yang cukup tinggi buat anak-anak muda dari masyarakat orang asli di negeri Kelantan untuk keluar dan mencari platform terbaik bagi mengetengahkan dan menggilap lagi bakat mereka dalam sukan bolasepak.
1 2

Haizil Azri Bin Hadi

Beliau berasal dari Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Banting, Selangor. Beliau menceburkan diri dalam sukan permotoran pada tahun 2013, ketika berumur 11 tahun. Mengikut jejak langkah abang beliau, Azrul Affendi, beliau telah melibatkan diri dalam perlumbaan Kayo MiniGP Malaysia (2014) dan telah mendapat tempat ke-5 dalam perlumbaan tersebut. Beliau telah mencapai banyak kajayaan yang membanggakan sepanjang penglibatan dalam sukan permotoran. Beliau sentiasa mendapat kedudukan tempat yang membanggakan. Beliau juga menyertai Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing Team.
2 2 e1603772593181

Azrul Affendi Bin Hadi

Merupakan orang asli pertama yang menyertai dan melibatkan diri dalam sukan permotoran. Beliau mula berminat dengan sukan permotoran sejak kecil lagi dan mula menjinakkan diri dalam sukan ini pada tahun 2012. Minat beliau ini berkembang pada tahun 2013 apabila beliau terlibat dalam perlumbaan motor Petronas CubPrix. Beliau telah mencapai beberapa pencapaian yang membanggakan sepanjang penyertaan dalam sukan permotoran ini. Beliau sentiasa mendapat kedudukan tempat yang terbaik. Beliau juga telah berjaya mencatat empat kemenangan podium pada perlumbaan juara Pro-Am 2015 dan sehingga kini masih menyertai perlumbaan Malaysian CubPrix. Pada tahun ini, beliau merupakan anak orang asli pertama yang menyertai perlumbaan Asia Road Racing Championship 2019, yang turut disertai oleh peserta dari Jepun dan Australia.
3 2

J.Murni bin Mohamad

Beliau dari suku kaum Semelai yang berasal dari Kampung Orang Asli Bukit Rok, Tasek Bera Negeri Pahang. Beliau mewakili Negara dalam acara sukan berkayak - SUKMA Pahang pada tahun 1996 (pingat gangsa), Sukan Sea Jakarta pada tahun 1997(pingat gangsa), World Wild Water, Telom Decent (pingat emas). South East Asia Champ, Yanggon Myamar (1 pingat Perak dan 2 pingat Gangsa), dan International Sedim Wild Water pada tahun 1998 (pingat emas). Beliau telah menceburi bidang kejurulatihan dan pernah menjadi jurulatih Malaysia pada tahun 1999 sehingga 2000, jurulatih bagi pasukan SUKMA Pulau Pinang pada tahun 2000 (2 perak dan 1 gangsa), jurulatih bagi negeri Terengganu pada tahun 2008, jurulatih bagi negeri Melaka untuk SUKMA (3 pingat gangsa). Pada tahun 2011, beliau memimpin Kuala Lumpur dalam SUKMA dan memperolehi 6 pingat perak dan jurulatih bagi negeri Perlis (1 emas, 6 perak dan 3 gangsa).
Kemaskini Terakhir : 30 / 09 / 2021 12:16 PM
Skip to content