Kuala Nerus: “Saya sangat gembira dan bersyukur serta mahu menjadi contoh yang terbaik untuk golongan muda Orang Asli,” kata Tuah Rezki Putri Uda Minit.
Rezki Putri, 23, anak Orang Asli kaum Semai antara 254 graduan yang menerima diploma pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-12, di sini, hari ini.
Anak kelima daripada enam beradik itu menerima Diploma Pengajian Bank yang disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA Prof Dr Fadzli Adam.
Rezki Putri berkata, bapanya Minit Bah Los, 59, dan ibunya, Juliana Bah Uda, 54, tidak dapat hadir pada majlis konvokesyen kerana tiada kenderaan dan perjalanan yang jauh.
Menurutnya, dia mempunyai impian menjadi anak Orang Asli yang berpelajaran tinggi dan mempunyai karier profesional seterusnya menjadi contoh kepada yang lain.
“Saya tidak pernah malu dilahirkan sebagai anak Orang Asli malah bersemangat membuktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya seperti orang lain,” katanya yang berasal dari perkampungan Orang Asli Chenderong Kelubi, Perak.
Rezki Putri kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dan Rekreasi di UKM, Bangi dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah.
Sumber: Harian Metro