Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Kampung Orang Asli Bukit Tadom

KUALA LANGAT, 15 Januari 2022 – Seramai 244 orang Ketua Isi Rumah (KIR) Masyarakat Orang Asli telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang telah diadakan di Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom.
 
Penerima manfaat bantuan tersebut adalah melibatkan KIR dari 3 buah kampung iaitu KOA Bukit Tadom, KOA Mutus Tua dan KOA Paya Rumput. 
 
Setiap KIR dari tiga (3) buah kampung yang terjejas bencana banjir tersebut telah menerima sumbangan berjumlah RM1,000. 
 
Semoga bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mangsa bencana banjir.
 
Turut hadir bersama Pegawai Daerah Kuala Langat dan PKOAD Kuala Langat & Klang.
 
Sumber : JAKOA Daerah Kuala Langat & Klang
 

23 Kanak-Kanak Orang Asli Berkhatan

PEKAN: Seramai 23 kanak-kanak Orang Asli berusia antara lima hingga 12 tahun berkhatan sempena program khatan anak asnaf muallaf di Klinik Kesihatan Bandar Pekan, di sini.
 
Program kali ke empat itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Pekan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) Pekan dan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.
 
Pengerusi PERKIM Cawangan Pekan Datuk Mohd Aripin Daut berkata, kanak-kanak yang menyertai program berkhatan kali ini tinggal dibeberapa perkampungan Orang Asli di daerah ini.
 
Menurutnya, tiada sebarang bayaran dikenakan pada penjaga yang menyertai program itu.
 
“Usaha yang dilakukan PERKIM Cawangan Pekan ini antara bantuan disediakan kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam.
 
“Setiap kanak-kanak yang menyertai program khatan kali ini turut disediakan hadiah atas keberanian mereka,” katanya yang akan terus mengadakan program khatan anak asnaf muallaf pada masa akan datang.
 
Sumber: Wacana (https://bit.ly/3GHHENC)
komen portal 1

Perkhidmatan Bas Untuk Penduduk Orang Asli Sungai Siput

SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak memperkenalkan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera yang pertama seumpamanya bagi manfaat penduduk orang asli di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang.
 
Bas henti-henti yang akan memulakan operasi pada Isnin itu melibatkan empat buah bas dengan dua laluan sejauh 20 kilometer (km) iaitu Sungai Siput-Karai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong-Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Siput.
 
Bas ini beroperasi setiap hari untuk manfaat kepada kira-kira 15,000 hingga 20,000 penduduk setempat khususnya pelajar sekolah dan penduduk Orang Asli di sini.
 
Bagi Tok Batin Kampung Beswok Pos Yum, Mohd Daud Anjang, kemudahan tersebut sangat dialu-alukan penduduk kerana selama ini mereka terpaksa pergi sejauh 5km ke Lasah, di sini untuk menaiki bas.
 
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bantu penduduk luar bandar seperti kami mendapatkan kemudahan bas ini. Memang dah lama kami tunggu sebab kalau nak pergi pekan agak jauh dan tambang bas sebelum ini RM2.50 sehala dan kami terpaksa bermalam.
 
“Jadi dengan adanya perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ini, tambang pun RM1, sangat memudahkan dan meringankan beban penduduk yang kebanyakannya tiada kenderaan sendiri,” katanya.
 
komen portal

Ancaman harimau : Bekalan makanan Orang Asli mencukupi

GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan memastikan keperluan bekalan makanan di pos penempatan Orang Asli di sini sentiasa mencukupi meskipun mereka tidak masuk ke dalam hutan selepas bimbang serangan harimau belang.

Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Roslina Bun berkata, tiga kali bantuan bekalan makanan asas telah disampaikan kepada penduduk kampung sejak sebulan lalu.

Katanya, bantuan bukan sahaja diberikan kepada dua buah pos yang terjejas dengan serangan harimau iaitu di Pos Bihai dan Pos Balar tetapi juga penduduk kampung berhampiran iaitu Pos Belatim.

“Bantuan telah dihantar kepada penduduk iaitu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Jakoa.

“Setakat ini, tidak timbul isu bekalan makanan terputus. Cuma, kita akan fikirkan kaedah untuk menangani masalah bekalan makanan seterusnya,” katanya. – K! ONLINE.

WhatsApp Image 2022 01 13 at 12.35.45 PM 1 e1642049797445

Sumbangan keperluan asas mangsa banjir di KOA Sungai Bumbun, KOA Kepau Laut, KOA Sungai Rambai dan KOA Sungai Judah

KUALA LANGAT, 12 Januari 2022 – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Aman Palestin dan Surau An-Nur, Bandar Menjalara telah menyerahkan sumbangan keperluan asas pembersihan kepada mangsa banjir di KOA Sungai Bumbun, KOA Kepau Laut, KOA Sungai Rambai dan KOA Sungai Judah.
 
Penyerahan sumbangan telah dibuat oleh wakil Aman Palestin dan Pengerusi Surau An-Nur, Bandar Menjalara iaitu Tn. Haji Jamaludin bin Kasbi yang juga Mantan Ketua Pengarah JAKOA Malaysia kepada penduduk Orang Asli di empat (4) buah kampung tersebut.
 
Turut hadir bersama, Pn. Fauziah bin Hj. Omar (Ketua Unit PMK, JAKOA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan) dan En. Mohd Nor bin Yaakub (PKOAD Kuala Langat dan Klang).
 
Sumber : JAKOA Daerah Kuala Langat & Klang
 

Pengagihan Wang Ihsan Bantuan Banjir Bagi Ketua Isi Rumah Yang Tidak Berpindah Ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

SEPANG, 12 Januari 2022 – Program Penyerahan Bantuan Wang Insan kepada Masyarakat Orang Asli di Daerah Sepang yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diadakan di Dewan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
 
Seramai 67 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 6 buah Kampung Orang Asli (KOA) telah menerima maanfaat bantuan tersebut.
 
Bantuan itu melibatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000, Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1000 dan Bantuan Pembelian Barang Keperluan berjumlah RM2,500.
 
Semoga dengan bayaran Bantuan Wang Ihsan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan mangsa bencana banjir.
 
Sumber : JAKOA Daerah Sepang
 

Penduduk Orang Asli Minta Kawalan Keselamatan Ditingkatkan

Gua Musang: Kira-kira 2,000 penduduk di Pos Bihai dan Pos Balar, di sini merayu supaya kawalan keselamatan di kawasan itu ditingkatkan berikutan ancaman harimau sejak beberapa hari lalu.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, maklum balas itu diterima hasil beberapa siri perjumpaan diadakan bersama penduduk di Tendrik, Bihai Lama dan Peyel bagi mendengar keluhan, kerisauan dan permintaan mereka.
 
Mohd Syahbuddin berkata, buat sementara waktu beliau memohon sekiranya tiada keperluan, penduduk kampung tidak keluar dari rumah masing-masing terutama di kawasan harimau berkeliaran di Pos Bihai dan Pos Balar.
 
Beliau berkata, bagi tujuan keselamatan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar ditutup bagi mengelak pelajar bertembung dengan harimau dipercayai masih berkeliaran di kawasan itu.
 
Menurutnya, bagi membantu penduduk terkesan dengan situasi semasa, bantuan makanan dihulurkan sejak 16 Disember lalu apabila penduduk dipindahkan dari Kampung Remau ke Kampung Tendrik.
 
1

Sumbangan keperluan asas kepada mangsa banjir Masyarakat Orang Asli

KUALA LANGAT, 9 Januari 2022 – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), TTDI Edible Community Garden telah menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada mangsa banjir Masyarakat Orang Asli di tujuh (7) buah Kampung Orang Asli, Daerah Kuala Langat dan Klang.
 
Barangan sumbangan keperluan asas yang telah disampaikan ialah Periuk Nasi, Toto, Bantal dan Set Almari Kain.
 
JAKOA mengucapkan penghargaan dan terima kasih diatas sumbangan yang telah diberikan.
 
Turut hadir En. Mohd Nor bin Yaakub (PKOAD Kuala Langat & Klang).
 
Sumber : JAKOA Daerah Kuala Langat & Klang.
 

Lawatan kerja ke Perkampungan Orang Asli Kampung Paya Lebar

HULU LANGAT, 8 Januari 2022 – YB Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man telah meluangkan masa mengadakan lawatan kerja ke Perkampungan Orang Asli Kampung Paya Lebar bagi meninjau kesan bencana banjir.
 
Susulan daripada Misi bantuan pasca banjir dan sumbangan poly paip serta penggantian semula paip yang rosak pada 28 Disember yang lalu, telah berlangsung juga Majlis Penyerahan Projek Wakaf Air yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, YB Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA). Bekalan air bersih ke kampung kembali pulih seperti sediakala.
 
Masyarakat Orang Asli di KOA Paya Lebar juga telah mendapat peruntukan untuk membuat empangan, dua (2) tangki air dan Wang Sumbangan Wakaf sebanyak RM1,000.00. Pihak JAKOA Ibu Pejabat juga telah menyampaikan sijil watikah pelantikan JPKKOA kepada En. Aba bin Chahim, Pengerusi JPKKOA Paya Lebar.
 
JAKOA mengucapkan penghargaan dan terima kasih diatas sumbangan dan bantuan yang telah diberikan.
 
Turut hadir bersama, YB Dato’ Dr Yunus bin Hairi (Adun Sijangkang), Dr. Che Rosli bin Che Mat (Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Hulu Langat Sejahtera), Puan Norazila binti Zakaria (PKOAD Hulu Langat), Batin Aning A/L Embong dan En. Aba bin Chahim (Pengerusi JPKKOA).
 
Sumber : JAKOA Daerah Hulu Langat.